Asam Pedas Ikan Patin
Assalammualaikum dan hai.
Entri resepi kali ini adalah berkenaan dengan resepi asam pedas.
Setiap orang mempunyai gaya tersendiri apabila memasak asam pedas.
Pelbagai versi asam pedas mengikut negeri tersendiri.
Apabila kita sebut mengenai asam pedas, terlintas di kepala hanyalah menggunakan ikan laut , daging tetel atau pun ayam.
Pernah tak anda mencuba menggunakan ikan sungai untuk membuat masakan asam pedas?.
Jadi entri kali ini adalah resepi menggunakan ikan sungai yang sangat popular di Negeri Pahang, iaitu menggunakan ikan patin.
Ikan patin terkenal dengan masakan patin masak tempoyak di kalangan orang pahang , bahkan orang yang di luar pahang juga.
Pernah tak anda merasa dan mencuba resepi di mana ikan sungai ini di masak asam pedas versi melaka?
Menggunakan bahan yang sama untuk kuah, hanya ikan sahaja menggunakan ikan sungai iaitu ikan patin.
Terdetik untuk mencuba masak asam pedas menggunakan ikan patin, kerana terdapat lebihan 4 ketul ikan patin di dalam peti.
Ikan sungai ini, untuk memasak anda perlu membasuhnya dengan menggunakan limau nipis atau air asam jawa, bagi menghilangkan bau hanyirnya. Inshaallah, nanti ikan akan sentiasa segar.
Di dalam entri ini, seperti biasa akan di kongsi bahan-bahan, cara penyediaan serta cara memasaknya sehingga siap.
Bila sebut asam pedas, mesti rasa dia ada gabungan di antara cukup rasa masam serta kepedasannya. Jika terlalu masam, tidak menjadi masakannya.
Jom kita lihat dahulu bahan-bahannya seperti berikut :
Bahan-bahannya:
- 3 biji bawang merah
- 1 biji bawang putih
- 1 inci halia
- 1 inci belacan
- lada hitam
- air asam jawa
- 3 senduk cili kering
- 1 1/2 sudu serbuk kari
- garam
- ajinomoto
- kerisik
- minyak masak
- 4 ketul ikan patin
Cara Awalan Penyediaan :
- Ikan patin hendaklah di basuh bersih, basuh dengan limau kasturi, bilas dan toskan airnya . Tujuan basuh dengan limau adalah untuk hilangkan bau hanyir sungai.
- 1 sudu lada hitam di tumbuk halus, kemudian masukkkan 3 biji bawang merah , 1 biji bawang putih , 1 inci halia dan 1 inci belacan bersama dengan lada hitam dan tumbuk juga sehingga halus. Kemudian letakkan 1 1/2 sudu serbuk kari, gaul semua bahan.
boleh baca juga : Ayam Goreng Tepung Gandum.
Cara Memasak Asam Pedas Ikan Patin Melaka Style.
- Panaskan minyak, kemudian masukkan bahan yang telah di tumbuk tadi iaitu
(1 sudu lada hitam di tumbuk halus, kemudian masukkkan 3 biji bawang merah , 1 biji bawang putih , 1 inci halia dan 1 inci belacan bersama dengan lada hitam dan tumbuk juga sehingga halus. Kemudian letakkan 1 1/2 sudu serbuk kari, gaul semua bahan.)
- Tumis semua bahan sehingga naik bau. Kemudian masukkan 3 senduk cili kering. Gaulkan dan kacau. Jika terkurang minyak, boleh tambahkan minyak sedikit. Masakkan bahan tersebut sehingga garing.
- Kemudian tuang air asam jawa, mengikut kuantiti kuah yang anda ingin. Masukkan juga 4 ketul ikan patin. Supaya ikan sebati dengan bahan tumisan. Tunggu sehingga mendidih. Jika terlebih asam jawa, anda boleh tambah air masak.
- Apabila kuah sudah mula mendidih, letakkan sedikit hirisan kerisik, garam dan ajinimoto. Gaul manja manja sahaja sebab tak nak isi ikan hancur.
- Jika sudah cukup rasa masam, kepekatan kuah pun cukup dan semua cukup rasa, boleh di tutup api dan hidangkan.
Hidangan asam pedas kali ini, penulis combinekan dengan ikan masin gelama dan sayur sawi goreng.
Asam pedas akan terasa nikmat apabila anda menjamu selera dengan nasi yang panas. Baru terasa nikmatnya.
Selamat mencuba untuk resepi kali ini.
Leave a Reply